Israel Bom Kediaman, Lebih 30 Hilang Tempat Tinggal

Abiidah Fadzlan Shahidi | 15 Februari 2022, 8.00 AM

JENIN - Tentera rejim Israel meletupkan rumah tahanan Palestin, Mahmoud Ghaleb Jaradat di Bandar Silat al-Harithiya di Jenin malam Ahad lalu. Tindakan tersebut adalah respon balas hukuman selepas dia dituduh melakukan operasi menembak pada Disember lepas bersama lima orang yang lain.

Sumber tempatan menyatakan tentera rejim Israel menyerbu bandar Silat al-Harithiya malam semalam dan mula merobohkan rumah tahanan Palestin, Mahmoud Ghaleb Jaradat. Tentera rejim kemudian meletupkan rumah itu sehingga runtuh.

Pada Disember lalu, pihak berkuasa tempatan Israel memaklumkan kepada empat keluarga Palestin tentang keputusan mereka untuk merobohkan rumah mereka sebagai hukuman kerana anak lelaki mereka dituduh melakukan serangan tembakan seperti yang didakwa.

Tentera rejim Israel menyerbu bandar Silat al-Harithiya dan merobohkan empat rumah: Rumah Ahmed Muhammad Yassin Jaradat, bapa kepada adik beradik Ghaith dan Omar yang dituduh menjalankan operasi menembak pada 16 Disember berhampiran penempatan haram Homesh, utara Nablus, menyebabkan seorang pendatang haram Yahudi terbunuh. Turut terlibat rumah Muhammad Youssef Jaradat, Ibrahim Musa Tahaineh, Mahmoud Ghaleb Jaradat dan Taher Abu Salah yang kesemuanya dituduh membantu dua lelaki itu.

Tentera rejim Israel menangkap mereka semua selepas menyerbu rumah mereka di Jenin sebelum meruntuhkannya.

Penduduk rumah telah mengosongkan perabot semasa operasi perobohan. Perobohan itu menyebabkan lebih 30 orang kehilangan tempat tinggal.

Negara haram Israel bertindak merobohkan rumah sebagai hukuman kolektif terhadap keluarga rakyat Palestin, yang menjalankan operasi menentang rejim.

Beratus-ratus rumah telah dirobohkan berikutan dasar Israel yang dilaksanakan sejak 1967, menyebabkan beribu-ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal walaupun mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan serta tidak disyaki melakukan sebarang kesalahan.

Dasar hukuman kolektif ini melanggar peruntukan undang-undang antarabangsa dalam Konvensyen Geneva bahawa "Tiada orang yang dilindungi boleh dihukum untuk kesalahan yang dia tidak lakukan secara peribadi. Penalti kolektif dan begitu juga semua langkah ugutan atau keganasan dilarang. Rompakan dilarang. Pembalasan terhadap orang yang dilindungi dan harta mereka adalah dilarang”. - Quds News

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin