Israel Janji Beri Kad Pengenalan Benarkan Rakyat Palestin Tinggal Dalam Negara Sendiri

Abiidah Fadzlan Shahidi | 13 Januari 2022, 10.15 AM

RAMALLAH – Israel telah bersetuju untuk memberikan 1,000 penduduk Tebing Barat kad pengenalan dan pasport Palestin yang akan membantu mereka untuk terus tinggal di tanah air mereka tanpa rasa takut untuk dibuang negara, menurut ketua Pihak Berkuasa Hal Ehwal Awam, Hussein al-Sheikh.

Beliau mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa pejabatnya mendapat persetujuan Israel untuk meluluskan 1000 permohonan kewarganegaraan dan beliau akan terus membuat tindakan susulan ke atas beribu-ribu nama lain yang dihantar ke pihak Israel, termasuk permohonan untuk kad pengenalan dan pertukaran alamat dari Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Pegawai Palestin itu berkata, kelulusan itu dibuat berdasarkan persepakatan pada 30 Ogos tahun lalu antara pihak Palestin dan Israel bagi membenarkan operasi untuk permohonan penyatuan semula keluarga antara rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan status 10,000 rakyat Palestin yang akan menerima Kad Pengenalan untuk membolehkan mereka dibenarkan oleh tentera Israel untuk tinggal di tanah air mereka sendiri. Seian kes melibatkan pertukaran alamat untuk kebanyakan penduduk Semenanjung Gaza yang berpindah dan menetap di Tebing Barat selama bertahun-tahun. Mereka sering berhadapan dengan kemungkinan diusir dan dibuang negara jika ditangkap di pos pemeriksaan tentera Israel. - WAFA

 

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin