Israel Kepung Sheikh Jarrah

Abiidah Fadzlan Shahidi | 15 Februari 2022, 7.15 AM

BAITUL MAQDIS - Kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis menjadi kawasan tentera secara tertutup di mana terdapat serangan rejim yang belum pernah terjadi sebelum ini terhadap rakyat Palestin di Baitulmaqdis. Demikian kata Ketua Jawatankuasa komuniti Al-Isawiya di bandar Baitulmaqdis, Muhammad Abu Al-Hummus.

Dalam satu kenyataan eksklusif kepada agensi berita Shehab petang Isnin lalu, Abu al-Hummus berkata bahawa sejumlah besar pendatang haram Yahudi turut berada di kawasan kejiranan dan menyerang penduduk dan rumah rakyat Palestin. Perkara itu menambah lagi kebimbangan rakyat Palestin di kejiranan itu.

Abu Al-Hummus menyeru rakyat Palestin di Baitulmaqdis dan Tebing Barat untuk hadir membela rakyat Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah. "Prinsip kami menguatkan keteguhan kami dalam menghadapi pencabulan Zionis yang berterusan", kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa pendatang haram Yahudi mengambil kesempatan daripada kerajaan gabungan yang rapuh untuk mendesak dasar dan pemaksaan budaya Yahudi  ke atas rakyat Palestin di Baitulmaqdis.

Beliau bahkan menyeru negara Arab dan Islam untuk terus menyokong rakyat Palestin di Baitulmaqdis serta menguatkan kesatuan mereka dalam menghadapi pencabulan pencerobohan tentera rejim dan pendatang haram Yahudi. - Shehab News

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin