Israel Mulakan Proses Pengusiran Arab Badwi Palestin

Faris Zailani | 21 Februari  2022, 5.43 PM

NAQAB - Pasukan tentera Israel telah mengerahkan sejumlah besar kenderaan jentera berat menuju ke arah perkampungan Um Batin dan Tel As-Sabi di kawasan gurun Naqab sejak pada hari Ahad lepas. Pihak tentera Israel juga turut menghalang pemilik tanah rakyat Palestin daripada memasuki kawasan tersebut. 

Baru-baru ini kawasan perkampungan di gurun Naqab telah menjadi ancaman perobohan rumah dan tempat kerja oleh jentera berat milik Israel. 

Pada bulan lepas, dalam masa tiga hari sahaja ratusan rakyat Palestin berhimpun secara aman di beberapa perkampungan Naqab untuk membantah perobohan dan kerja-kerja di tanah milik mereka. 

Menurut sebuah persatuan komuniti mewakili suara penduduk Palestin di sana melaporkan, terdapat juga beberapa serangan ringan daripada penduduk Palestin yang membantah kegiatan tersebut. 

“Kami mengambil keputusan untuk mengambil langkah proaktif bermula dengan mengadakan penentangan secara berkelompok selama enam bulan, kemudian akan membawa kepada penentangan dan perhimpunan besar-besaran secara umum di luar pejabat perdana menteri untuk kami mendedahkan isu ini dengan lebih luas di peringkat global akan kezaliman Israel dalam isu ini”, ucap wakil komuniti tersebut. 

Penentangan secara terang-terangan telah dilakukan oleh penduduk Palestin di kawasan-kawasan seperti Al-Atrash, Al-Sawa, al-Zarnouq dan lain-lain lagi. 

Walau bagaimanapun, tentera Israel telah melakukan serangan balas yang lebih kejam dengan menyerbu perkampungan tersebut lalu menyerang penduduk tempatan dan menahan peserta perhimpunan aman tersebut. 

Tentera israel juga telah menembak gas pemedih mata dan bom bunyi ke arah peserta perhimpunan aman untuk menyuraikan mereka. Tembakan gas tersebut telah mengakibatkan puluhan rakyat Palestin menderita akibat kesesakan nafas. 

Semua konflik ini bermula pada 9 Januari apabila persatuan Jewish National Fund (JNF) menanam pokok di tanah milik penduduk tempatan tersebut selama beberapa hari. Dalam masa yang sama, jentera berat Israel telah merobohkan bangunan milik arab badwi di sana untuk melakukan penanaman pokok di tanah tersebut. 

Pihak tentera pula menutup jalan ke perkampungan tersebut dan menghalang penduduk kampung daripada masuk ke kampung halaman mereka sendiri. 

Pihak tentera Israel telah menahan seramai 140 orang lebih penduduk Palestin yang berhimpun secara aman membantah kegiatan tersebut. 

Perobohan rumah di perkampungan gurun Naqab merupakan sebahagian daripada projek Israel yang mencetus kontroversi. Projek tersebut diketuai oleh pertubuhan JNF untuk menanam sebanyak 40,000 pokok seluas 15 batu persegi di Naqab. 

JNF dan Jabatan Tanah Israel (ILA) bercadang untuk menanam ratusan lagi pokok di tanah perkampungan milik orang arab badwi yang lain. Sebanyak enam kampung orang arab badwi akan terjejas dan dimusnahkan, manakala ribuan penduduk akan dipindahkan daripada kawasan tersebut atas alasan membangunkan kawasan.

Israel telah menggunakan alasan penanaman hutan sebagai sebagai helah untuk merampas tanah penduduk Palestin dan menghalang mereka daripada kembali semula ke tanah asal milik mereka. 

Menurut penduduk tempatan, dasar begitu dicipta oleh mereka untuk menekan penduduk tempatan dan arab badwi  supaya berpindah ke tempat lain sedangkan itu merupakan tanah asal milik mereka sebelum Israel datang pada tahun 1948 lagi. 

Terdapat seramai 100,000 penduduk Palestin yang tinggal di 35 kampung badwi di sekitar Naqab, dan mereka semua tidak diiktiraf oleh Israel. Israel menganggap orang arab badwi sebagai orang setinggan dan tidak menyediakan prasarana kemudahan kepada mereka termasuk bangunan, elektrik, air bersih, sistem jalan raya, sekolah atau hospital. - Quds News

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin