Konfrontasi Ganas Meletus di Kem Pelarian Qalandia

Rusydan Yusup | 24 Januari 2022, 9.43 PM

QALANDIA - Konfrontasi ganas meletus antara pemuda Palestin dan tentera Israel yang menyerbu kem pelarian Qalandiya, Utara bandar Baitul Maqdis pada tengah hari semalam. 

Sumber tempatan melaporkan bahawa tentera Israel menyerbu dalam jumlah besar, turut menangkap seorang pemuda, Ahmed Umtair, semasa konfrontasi tersebut. Kemudian mereka memukulnya dengan teruk dan menghumban beliau ke dalam salah satu kenderaan tentera mereka. 

Rakaman video menunjukkan bahawa tentera Israel menutup pintu masuk utama ke kem, dan menghalang pergerakan kenderaan di kedua-dua arah, yang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk berikutan hujan dan cuaca yang sangat sejuk. 

Kem Qalandiya menempatkan pelarian Palestin terletak kira-kira sepuluh kilometer ke bahagian Utara  Baitul Maqdis. 300 meter daripadnya adalah pusat pemeriksaan tentera yang menjadi talian hayat bagi penduduk Palestin antara bandar Ramallah dan Baitulmaqdis. 

Walaupun kem tersebut terletak berdekatan dengan bandar Baitul Maqdis, terdapat sejumlah keluarga berasal dari perkampungan Palestin di daerah Baitul Maqdis tidak dapat memasukinya kecuali selepas melalui pusat pemeriksaan dengan membawa permit Israel, dan selepas menjalani pemeriksaan rapi. 

Penderitaan rakyat Palestin di Qalandiya tidak berhenti setakat menjalani kehidupan sebagai seorang pelarian yang dipenuhi dengan kisah kemiskinan dan pengangguran, tetapi turut menghadapi kesukaran hidup berikutan wujudnya tembok pemisah yang dibina oleh rejim Israel yang memisahkan Tebing Barat dan Baitul Maqdis. 

Disebabkan jaraknya yang berdekatan dengan pusat pemeriksaan Qalandiya, kem tersebut kekal sebagai titik pertembungan antara rakyat Palestin dan tentera Israel. - Shehab News

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin