Lagi Rumah Rakyat Palestin di Nablus Bakal Dirobohkan

Rusydan Yusup | 24 Januari 2022, 9.09 PM

NABLUS - Pihak Berkuasa Israel telah menghantar notis untuk merobohkan empat buah rumah rakyat Palestin di bandar Rujeib, bahagian  Timur wilayah Nablus. 

Sumber-sumber tempatan melaporkan bahawa Pihak Berkuasa Israel, disertai peronda Pentadbiran Awam, menyerbu kawasan Khallet Rajeh di Rujeib, dan menyerahkan notis kepada rakyat untuk menghentikan pembinaan beberapa buah bangunan dan mendakwa bahawa mereka berada di Zon C. 

Notis itu turut merangkumi arahan menghentikan kerja pembinaan dan memulihkan tempat itu kepada keadaan asal. Rumah yang disasarkan untuk dirobohkan  adalah milik Saher Ajouri, Rafe'a Adili, Zakaria Issa dan Azzam Al-Kharraz. 

Kampung Rujeib terletak di bahagian Tenggara Nablus, 5 km dari pusat bandar, dan dianggap sebagai salah satu perkampungan terdekat di sekitar bandar. Penduduk kampung mengalami beberapa kesulitan antaranya ketidakmampuan mereka untuk mengakses tanah milik mereka untuk menanam atau memetik buah zaitun, kerana jarak tanah tersebut dengan penempatan haram Israel di Itamar, yang terletak di sebelah timur kampung tersebut. 

Arahan merobohkan rumah yang dijadualkan itu menyasarkan kemudahan dan kediaman rakyat Palestin dan merupakan antara langkah rejim Israel dalam rangka pelaksanaan projek penempatan haram Israel  di kawasan Itamar tersebut dan turut bertujuan menghalang pengembangan populasi rakyat Palestin di kawasan itu. - Shehab

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin