Mahkamah Israel Luluskan Roboh Rumah Rakyat Palestin Sebagai Satu Bentuk Hukuman

Abiidah Fadzlan Shahidi | 21 Februari 2022, 8.15 AM

JENIN – Hukuman berbentuk merobohkan rumah tahanan Palestin, Mohammad Yousef Jaradat di bandar Silat Al-Harithiya di wilayah Jenin di Utara Tebing Barat diluluskan dengan mudah oleh pihak berkuasa kehakiman Israel semalam.

Keluarga Jaradat memaklumkan telah mengemukakan petisyen melalui kumpulan hak asasi manusia Israel Hamoked untuk membatalkan perintah merobohkan rumahnya, namun mereka dimaklumkan semalam bahawa petisyen itu ditolak dan rumah mereka kini dijadualkan untuk dirobohkan.

Tentera rejim Israel telah meletupkan rumah tahanan Palestin Mahmoud Jaradat dalam Silat al-Harithiya minggu lalu di tengah-tengah pertempuran sengit antara penduduk tempatan dengan pendatang haram Yahudi.

Mahmoud dan Mohammad telah disabitkan kesalahan kerana telah  membunuh seorang pendatang haram Yahudi di luar Homesh Yeshiva di Utara Tebing Barat, Disember lalu.

Pihak berkuasa rejim Israel telah lama menggunakan metod untuk menghukum dengan merobohkan rumah keluarga penduduk Palestin yang dituduh melakukan serangan ke atas warga Israel. Dasar ini tidak terpakai kepada pendatang haram Yahudi yang melancarkan serangan maut terhadap rakyat Palestin.

Dasar itu telah dikutuk secara meluas oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai hukuman berbentuk kolektif dan termasuk dalam jenayah perang. - WAFA

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin