Majalah Vogue Buang Perkataan Palestin Daripada Kenyataan Gigi Hadid

Rusydan Yusup | 12 Mac 2022, 12.27 PM

NEW YORK - Majalah Vogue telah dikecam kerana menyunting keluar perkataan Palestin daripada kenyataan model terkemuka, Gigi Hadid dalam hantaran Instagram mereka yang memuji tindakan model keturunan Palestin Belanda itu.

Pada Ahad lalu, Hadid mengumumkan di Instagram bahawa beliau akan mendermakan keseluruhan pendapatannya daripada pertunjukan musim luruh 2022 untuk membantu mereka yang menderita akibat perang Ukraine, serta terus menyokong mereka yang mengalami perkara yang sama di Palestin.

Vogue membuat liputan pengumuman Hadid dalam artikel bertajuk "Gigi Hadid to Donate Fashion Month Earnings to Ukraine Relief" (Gigi Hadid Akan Derma Pendapatan Bulan Fesyen Untuk Ukraine), yang mengetepikan sebarang rujukan kepada Palestin. Majalah itu kemudiannya mendedikasikan hantaran Instagram kepada ikrar Hadid untuk menderma, hampir secara verbatim memetik kenyataan dan tulisan model itu, “hari ini, @Gigihadid mengumumkan bahawa beliau akan mendermakan semua pendapatan bulan fesyennya dalam usaha memberikan bantuan di Ukraine, serta terus menyokong mereka yang mengalami perkara yang sama di Palestin”. 

Tindakan majalah itu mendapat kritikan hebat di laman sosial oleh tokoh terkemuka dan pengguna laman sosial tersebut. Antara yang memberikan kritikan ialah wartawan dan penulis dari United Kingdom, Mehdi Hasan, dan aktivis Palestin, Mohammed El-Kurd.

Kejadian ini bukan kali pertama keluarga Hadid dikenakan tapisan ekoran pandangan mereka terhadap Palestin.

Pada 2020, Bella Hadid mengecam Instagram kerana mengalih keluar salah satu hantarannya, di mana beliau berkongsi foto pasport bapanya, dan menampakkan bahagian tempat kelahiran, yang terdapat perkataan: Palestin. Beliau kemudian menyatakan bahawa, "anda tidak boleh memadamkan sejarah dengan memaksa orang diam. Perkara itu tidak berfungsi seperti itu".

Perkara ini bukanlah suatu yang pelik kerana media dunia sentiasa menyembunyikan isu Palestin agar masyarakat antarabangsa lupa akan kesengsaraan dan penindasan yang dialami rakyat Palestin sejak bertahun-tahun lamanya. Semoga kita dapat terus menyebarkan berita mengenai Palestin dan terus memberikan sumbangan kepada mereka. - Middle East Eye

 

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin