‘Negara saya kini adalah rejim apartheid' - Bekas Peguam Negara Israel

Abiidah Fadzlan Shahidi | 13 Februari 2022, 8.35 AM

TEL AVIV  – Michael Benyair, bekas Peguam Negara Israel, menggesa masyarakat antarabangsa mengambil langkah untuk menamatkan pemerintahan apartheid Israel di Palestin.

Benyair berkata dalam komentar yang diterbitkan oleh majalah The Journal Ireland, “Dengan penuh kesedihan, saya membuat kesimpulan bahawa negara saya telah tenggelam jauh dari politik dan moral sehingga kini menjadi rejim apartheid. Sudah tiba masanya untuk masyarakat antarabangsa mengiktiraf realiti ini.” 

Benyair menambah bahawa beliau telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya menganalisis persoalan undang-undang mengenai penjajahan Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis. Beliau turut mengakui bahawa semasa memegang jawatan, beliau meluluskan rampasan tanah persendirian Palestin untuk membina infrastruktur bagi pengembangan penempatan haram di wilayah terjajah itu.

Kenyataan Benyair selepas dua minggu selepas Amnesty International mengeluarkan laporan yang menggambarkan Israel sebagai negara apartheid. Tahun lalu, B'Tselem dan pemerhati hak asasi membuat kesimpulan yang sama, manakala pendapat yang dikeluarkan oleh Yesh Din, sebuah badan sukarelawan hak asasi manusia pada 2020 juga menyatakan bahawa "jenayah terhadap kemanusiaan apartheid sedang dilakukan di Tebing Barat."

Tegasnya lagi, “Di antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean, Israel bertanggungjawab atas rampasan hak sivil dan politik berjuta-juta rakyat Palestin. Ini adalah apartheid Israel.”

Dalam mengakhiri artikelnya, Benyair menyifatkan situasi di lapangan di Palestin sebagai tindakan keji yang tidak moral.

"Kelewatan masyarakat antarabangsa dalam mengambil langkah menekan Israel bertanggungjawab terhadap rejim apartheid adalah tidak boleh diterima." - WAFA

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin