PBB Gesa Israel Henti Usir, Roboh Rumah Sheikh Jarrah

Abiidah Fadzlan Shahidi | 19 Februari 2022, 11.15 AM

BAITUL MAQDIS – Wakil Persatuan Negara Kemanusiaan di Palestin, yang terdiri daripada Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta NGO antarabangsa dan Palestin bertemu dengan keluarga Salem di kejiranan Baitulmaqdis Timur, Sheikh Jarrah semalam.

Keluarga itu merupakan pelarian Palestin seramai 12 orang anggota termasuk enam kanak-kanak dan wanita warga emas, Fatima Salem terpaksa berhadapan pengusiran pada bulan Mac dari rumah mereka yang telah didiami selama 70 tahun.

Arahan pengusiran baru-baru ini menimbulkan ketegangan di kejiranan Baitulmaqdis melibatkan pertempuran antara penduduk Palestin dengan pendatang haram Yahudi dan tentera rejim Israel. Pertempuran itu bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda dan kecederaan malah lapan kanak-kanak turut ditahan sejak Jumaat lalu. Keluarga Salem dan jirannya turut diserang dengan semburan lada dan batu yang mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda.

Seramai 970 individu termasuk 424 kanak-kanak tinggal di Baitul Maqdis Timur, terutamanya di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah dan Silwan. 218 keluarga Palestin termasuk Keluarga Salem bakal berdepan ancaman pengusiran paksa oleh pihak berkuasa rejim Israel.

PBB berulang kali menggesa agar pengusiran paksa dan perobohan di Tebing Barat termasuk Baitul Maqdis Timur dihentikan segera. Hal ini tertakluk di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, pemindahan secara paksa orang yang dijajah oleh kuasa rejim adalah dilarang tanpa mengira motif mereka.

Langkah proaktif mesti diambil untuk meredakan keadaan sebelum krisis lain meletus. PBB turut menggesa semua pemimpin politik dan masyarakat supaya menjauhi tindakan provokasi dan retorik. Rejim Israel mesti mengambil langkah untuk memastikan perlindungan orang awam, termasuk pelarian Palestin. - WAFA

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin