PBB Minta Israel Henti Roboh Rumah, Usir Rakyat Palestin

Mohd Qutaibah Ismail | 18 Februari 2022, 10.02 AM

NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa Israel menghentikan perobohan rumah Palestin dan pengusiran paksa, termasuk di kawasan kejiranan Baitulmaqdis Timur, Sheikh Jarrah.

Bercakap semasa sidang akhbar di New York rabu lalu, Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stéphane Dujarric, menyatakan: “Kami sedang mengikuti dengan teliti situasi di Sheikh Jarrah Baitulmaqdis Timur dan sebarang kemungkinan operasi pengusiran penduduk Palestin dari rumah mereka.”

“Adalah sangat penting untuk mengurangkan ketegangan dan mengekalkan keamanan. Kami berterusan meminta pihak berkuasa Israel untuk menamatkan dasar merobohkan rumah Palestin dan hentikan pengusiran rakyat Palestin di Sheikh Jarrah dan di mana-mana sahaja di Tebing Barat.”

Ketegangan berlaku ketika polis rejim Israel mengalihkan pejabat yang ditubuhkan oleh aktivis Palestin di kawasan kejiranan dan menyerang aktivis dan penyokong Palestin yang berjaga.

Polis rejim telah menyekat kawasan barat kejiranan Syeikh Jarrah sehingga menyekat keperluan harian penduduk untuk keluar dan masuk sejak lima hari lalu.

Ketegangan semakin memuncak apabila warga Israel ekstrem berhaluan kanan yang diketuai oleh ahli parlimen, Itamar Ben Gvir menubuhkan pejabat di situ serta mengumumkan bahawa masa telah tiba untuk ‘membersihkan’ tanah itu, merujuk kepada penghapusan etnik rakyat Palestin.

Ben Gvir terkenal sebagai ahli gerakan pengganas "Kach", yang melakukan banyak pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, terutamanya pembunuhan beramai-ramai di Masjid Ibrahimi pada tahun 1994. Walaupun menjadi ahli gerakan pengganas yang terkenal, Ben Gvir tidak ditangkap dan menjadi ahli parlimen Israel, Knesset.

Kejiranan itu menjadi tumpuan protes besar-besaran terhadap pendatang haram Yahudi sejak pihak berkuasa rejim Israel memutuskan untuk menghalau secara paksa berpuluh-puluh keluarga Palestin dari rumah mereka.

Rakyat Palestin menegaskan bahawa keputusan rejim untuk mengusir keluarga Palestin dari rumah mereka itu adalah memihak kepada kumpulan pendatang haram Yahudi yang bermotifkan politik dan merupakan sebahagian daripada usaha rejim Israel untuk membersihkan etnik Palestin dari Baitulmaqdis.

Sejak penjajahan Baitulmaqdis oleh rejim Israel pada Jun 1967, pertubuhan penjajah Israel, termasuk Elad dan Ateret Cohanim, telah menuntut pemilikan harta Palestin di Baitulmaqdis. Dengan sokongan kerajaan rejim Israel, badan kehakiman dan perkhidmatan keselamatan, pertubuhan-pertubuhan ini berusaha untuk merampas hartanah milik rakyat Palestin dan menukarnya menjadi pos-pos tentera sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan majoriti Yahudi di bandar itu, serta mengurus tapak arkeologi di Silwan dan mengawasi penggalian mereka. Rancangan jahat ini melibatkan pembinaan tapak pelancongan haram baharu, seperti "City of David", untuk menyokong propaganda mereka. - WAFA

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin