Pendatang Haram Yahudi Serang Pengembala Palestin

Mohd Qutaibah Ismail | 26 Januari 2022, 11.34 AM

HEBRON - Pendatang haram Yahudi telah menyerang pengembala lembu rakyat Palestin serta mencederakan beberapa orang dengan senjata semalam di Masafer Yatta, Selatan Hebron.

Rateb Jabour, seorang aktivis berkata berpuluh-puluh pendatang haram bersenjata itu menyerang pengembala ternakan menggunakan kayu dan membaling batu ke arah mereka menyebabkan lebam pada badan beberapa pengembala dan terpaksa melarikan diri.

Penyerang datang dari penempatan kolonial Mitzpe Yair, Maon dan Ya'acov Dalia kemudian menceroboh tanah penduduk kampung.

Tambah Jabour, mereka juga cuba menceroboh Shi'b al Butum dan Khirbet al-Fakhit, dua dusun yang mengelilingi Masafer Yatta tetapi gagal kerana dihalang penduduk.

Masafer Yatta merupakan himpunan hampir 19 buah dusun yang sangat bergantung kepada penternakan sebagai sumber utama rezeki.

Terletak di Kawasan C Tebing Barat, di bawah kawalan penuh pentadbiran dan ketenteraan Israel, kawasan itu telah mengalami pelanggaran berulang kali oleh penduduk haram Israel dan tentera yang menyasarkan sumber kehidupan utama tersebut.

Masafer Yatta juga telah ditetapkan sebagai zon tertutup bagi tentera Israel untuk menjalani latihan sejak 1980-an.

Pelanggaran Israel terhadap kawasan itu termasuk merobohkan kandang haiwan, rumah dan struktur kediaman. Pengeluaran permit pembinaan oleh Israel kepada penduduk tempatan Palestin di kawasan itu tidak wujud.

Terdapat lebih 700,000 peneroka Israel yang tinggal di penempatan kolonial di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur yang melanggar undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva Keempat. - WAFA

 

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin