Pengusiran Paksa Rakyat Palestin Satu Jenayah Terancang Israel - Hamas

Abiidah Fadzlan Shahidi | 11 Mei 2022, 10.23 AM

BAITULMAQDIS - Gerakan Kebangkitan Islam Hamas mengecam tindakan tentera rejim Israel merobohkan bangunan dua tingkat milik keluarga Al-Rajabi di Silwan, Baitulmaqdis. Hamas menyifatkan perbuatan itu sebagai jenayah pemindahan paksa secara terancang. Keluarga al-Rajabi telah tinggal di sana selama lapan tahun.

Perobohan ini turut menunjukkan sifat melampau rejim dan keganasan terhadap rakyat, tanah Palestin dan masjid suci umat Islam. 

Dalam satu kenyataan akhbar, Hamas menyifatkan perobohan rumah keluarga al-Rajabi itu adalah percubaan untuk membersihkan Baitulmaqdis dari penduduk Palestin serta meyahudkan Baitulmaqdis berkenaan dan mengambil kesempatan daripada kegagalan tindakan negara antarabangsa, yang seharusnya memikul tanggungjawab ini.

Keluarga berkata, tentera rejim Israel merobohkan rumah itu selepas menyerbu bangunan dan menyerang penghuninya tanpa membenarkan mereka memindahkan perabot dan harta benda mereka.

Hamas menyifatkan perobohan rumah keluarga dan pemindahan lebih 40 penduduk Baitulmaqdis, termasuk kanak-kanak, wanita, orang sakit dan orang tua, dari tanah dan harta mereka sebagai satu jenayah terhadap kemanusiaan dan kerajaan sedia ada mesti memikul tanggungjawab sepenuhnya di atas jenayah ini.

Rejim Israel sering menggunakan sebab pembinaan tanpa permit oleh pihak berkuasa Israel sebagai alasan merobohkan rumah. Namun dalam masa yang sama, majlis perbandaran Israel membina puluhan ribu unit penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis Timur meskipun ianya haram di sisi undang-undang antarabangsa.

Mahkamah Israel sebelum ini menolak banyak rayuan yang difailkan oleh penduduk Baitulmaqdis bahkan membuat tindakan berat sebelah dengan membenarkan pertubuhan pendatang haram Yahudi meneruskan prosedur pengusiran keluarga Palestin.

Hamas menegaskan bahawa pencabulan berterusan Zionis terhadap tanah Palestin dan masjd suci Islam tidak akan berjaya mengubah mercu tanda bersejarah Baitulmaqdis. - Agensi

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin