Perletakan Batu Asas Sebagai Tanda Aman Palestin Serius Membantu Sektor Kesihatan Palestin

25 November, 2021

Miftahul Khair | 25 November 2021, 4.00 PM

GAZA - Aman Palestin sekali lagi mencipta sejarah apabila pelaksanaan pembinaan Hospital Aman Palestin telah dimulakan dengan acara meletakkan batu asas sebagai tanda pembinaan bermula. Majlis berlangsung pada tanggal 23 November 2021 di tapak pembinaan Hospital Aman Palestin, Semenanjung Gaza.

Jemputan yang hadir dalam majlis tersebut termasuk Dr. Issam Al-Da'lis (Pengarah Pentadbiran Kerajaan Palestin), Dr. Youssef Abu Al-Rish (Timbalan Menteri Kesihatan Palestin), Awang Suffian Awang Piut (Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad) dan Ir. Omar Seyam (CEO Aman Palestin Gaza). Turut diraikan adalah rakan-rakan NGO yang berada di Palestin serta rakan-rakan media yang banyak memberikan sokongan padu buat Aman Palestin.

Dalam acara tersebut, Dr. Issam Al-Da'lis memuji usaha terbaik yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dan rakyatnya yang sentiasa menyokong dan membantu Palestin. Dalam masa yang sama, beliau memuji tindakan Aman Palestin dalam pembinaan Hospital ini sebagai satu kebajikan besar buat kualiti kesihatan warga Palestin.

Beliau menegaskan bahawa kepentingan pembinaan Hospital Aman Palestin ini terhadap kesihatan dan rehabilitasi rakyat Palestin khususnya dalam kes gangguan psikologi yang dialami oleh rakyat Gaza akibat peperangan yang sentiasa berlaku di sana.

Aman Palestin sememangnya mengambil berat mengenai permasalahan yang berlaku di Palestin khususnya dalam sektor kesihatan yang menjadi keperluan utama rakyat Palestin. Dengan perletakan batu asas bagi projek pembinaan Hospital Aman Palestin ini, ia menjadi satu tanda bahawa kita tidak lupa akan saudara kita di Palestin.

 

© Hakcipta Terpelihara 2021, Aman Palestin