Polisi Rakyat Palestin Tidak Berubah - Menteri Luar Turki

Abiidah Fadzlan Shahidi | 11 Februari 2022, 8.00 AM

ANKARA - Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata semalam, sebarang langkah ke arah memulihkan hubungan antara negaranya dan Israel tidak akan mengorbankan perjuangan Palestin.

"Sebarang langkah yang kami ambil dengan Israel berkaitan hubungan kami tidak akan mensia-siakan perjuangan Palestin, seperti beberapa negara lain," kata Cavusoglu kepada stesen penyiaran Turki TRT.

“Pendirian kami dalam isu Palestin sentiasa jelas. Kita adalah negara yang telah menyatakan pendiriannya dalam isu ini dengan jelas sejak awal lagi. Anda sudah melihat apa yang berlaku dalam 4-5 tahun kebelakangan ini,” tambahnya.

Beliau berkata, "Tetapi kami tidak akan berputus asa dengan prinsip asas dan pendirian kami, termasuk penyelesaian dua negara (two-state solution)."

“Jika hubungan (Turki-Israel) hendak dinormalisasi, ia akan dinormalisasi dengan langkah kedua-dua pihak, atau jika dialog terbuka mahu diadakan, ia akan berlaku jika kedua-dua pihak bersetuju dengan langkah sewajarnya.” - WAFA

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin