Puluhan Yahudi Ceroboh Masjid Al-Aqsa

Abiidah Fadzlan Shahidi | 16 Februari 2022, 7.30 AM

BAITUL MAQDIS  - Berpuluh-puluh pendatang haram Yahudi menceroboh Masjid Al-Aqsa dan mencetuskan provokasi terhadap jemaah masjid pagi selasa lalu.

Al-Qastal, portal berita Palestin di Baitulmaqdis, menyatakan berpuluh-puluh pendatang haram Yahudi termasuk pelajar Yahudi menceroboh masuk ke halaman Masjid Al-Aqsa di bawah perlindungan tentera rejim Israel, ketika kejadian pecah masuk pagi semalam.

Penceroboh tersebut masuk melalui Pintu Mughrabi, salah satu Pintu Kota Lama Baitulmaqdis yang menjadi kawalan penuh rejim Israel.

Mereka memprovokasi umat Islam dengan menunaikan ritual Talmud di halaman masjid dan di Pintu Mughrabi.

Menurut Al-Qastal, pihak rejim Israel membenarkan pendatang haram Yahudi menceroboh masjid sejak 2003, di bawah perlindungan tentera.

Sejak awal 2021, seramai 34,562 orang pendatang haram Yahudi memecah masuk ke masjid itu, sekaligus menjadikannya rekod tertinggi sejak 2020 iaitu seramai 19,000 orang dan 29,700 orang pada 2019. 

Al-Qastal turut melaporkan bahawa 3,078 orang pendatang haram termasuk pelajar Yahudi, kakitangan rejim Israel dan "tetamu" mereka menceroboh masuk ke masjid itu pada bulan Januari.

Bantahan dan amaran yang berulang kali diberikan oleh pihak berkuasa agama Palestin kerana pencerobohan mereka mencetuskan provokasi terhadap jemaah masjid itu.

Tentera rejim Israel sentiasa melindungi pendatang haram namun menghalang umat Islam Palestin dari memasukinya bahkan menyerang dan menahan mereka.

Masjid Al-Aqsa adalah salah satu tempat paling suci dalam Islam. Orang Yahudi merujuk kawasan itu sebagai Gunung Kuil, mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi yang terkenal pada zaman dahulu. Kompleks ini juga termasuk Gereja Holy Sepulchre, salah satu tapak Kristian yang paling suci di dunia. - Quds News

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin