Remaja Palestin Syahid Ditembak Rejim Israel

Faris Zalani 14 Februari 2022, 3.49 PM

JENIN - Seorang pemuda Palestin berusia 17 tahun meninggal dunia akibat ditembak oleh tentera rejim Israel di bahagian kepala. Kejadian tersebut berlaku di perkampungan Silat Al-Harithiya, bandar Jenin di Tebing Barat apabila tentera rejim Israel menyerbu perkampungan tersebut. 

Mangsa terbunuh dikenali sebagai Mohamed Akram Abu Salah, berasal dari bandar Yamun, barat Jenin. 

Serbuan tersebut berlaku sebelum tentera rejim itu merobohkan rumah seorang tahanan Palestin, Mahmoud Jaradat yang terlibat dalam kejadian tembak-menembak yang berlaku di petempatan haram yahudi di Homesh, utara Nablus. Kerajaan rejim Israel menuduh dua orang anak Jaradat melakukan operasi tembakan tersebut iaitu Ghaith dan Omar Jaradat yang berusia 20 dan 17 tahun. 

Penduduk tempatan bertindak balas terhadap tindakan kejam tentera rejim selepas kerajaan rejim mengarahkan lebih 40 unit kenderaan tentera ke perkampungan tersebut. 

Penduduk tempatan dari kampung berdekatan turut bertindak balas menghalang tentera rejim dari merobohkan rumah terbabit. 

Walaubagaimanapun, tentera rejim menyerang penduduk Palestin dengan peluru hidup dan gas pemedih mata. Serangan tersebut mengakibatkan kecederaan lebih 8 orang penduduk Palestin. 

Menurut laporan Persatuan Bulan Sabit Merah, tentera rejim juga menghalang petugas mereka daripada memasuki kawasan tersebut untuk memberikan bantuan kecemasan kepada penduduk yang cedera. - Quds News

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin