Selimut dan Baju Tebal Masih Tidak Mampu Memberi Kehangatan Tanpa Pemanas

Miftahul Khair | 12 November 2021, 11.30 AM

LUBNAN - Cuaca sejuk di Palestin, Syria dan Lubnan amat berbeza jika dibandingkan dengan musim sejuk di negara-negara lain. Rombongan Sukarelawan Aman Palestin ke Lubnan pada tahun 2020 sempat merasai keadaan tersebut dan sememangnya memberi tekanan dan cabaran apabila menetap di kem-kem pelarian di Lubnan.

Nik Shah, Peserta Misi Sukarelawan Aman Palestin ke Lubnan tahun lalu menceritakan pengalaman beliau menetap di khemah kanvas di kem pelarian Syria di Lubnan dan beliau berpandangan bahawa kehidupan di kem-kem pelarian di sana pada musim sejuk memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk terus bertahan.

"Kami duduk di sana, tidur dalam khemah kanvas yang nipis. Baju sejuk dan selimut masih tidak cukup untuk panaskan badan kami di sana sekiranya tiada pemanas. Dengan kami yang tidak biasa dengan cuaca sejuk ketika itu, ia merupakan cabaran untuk kami terus bertahan sihat", kata beliau dalam temuramah ringkas bersama pihak Aman Palestin.

Beliau juga menceritakan keadaan kem-kem pelarian yang sehingga kini serba kekurangan ditambah lagi dengan kekangan mereka untuk membina rumah dengan batu bata. Penduduk di sana juga berhadapan dengan jalan yang kotor dan berlumpur akibat daripada salji yang melanda kem-kem pelarian.

 

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin