SENYUMAN BUAT MEREKA

Selasa yang lalu telah berlangsung satu sidang media dan Taklimat bersama Aman Palestin. Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Media dan Korporat Aman Palestin Berhad, Ustaz Anas Abdul Wahab, Hamza Deirawi, Pegawai media Aman Palestin Gaza, Alif Hamzah, Pengarah program Taklimat dan Sidang Media bersama Aman Palestin, tetamu-tetamu jemputan dan barisan media Malaysia. Aman Palestin meletakkan sasaran kutipan sumbangan berjumlah RM15 juta bagi kempen 10 For Smiles sebagai satu usaha bantuan kemanusiaan dan persiapan bagi menghadapi musim sejuk yang bermula September hingga Mac tahun hadapan.

Selain itu, terdapat beberapa kempen yang turut dinyatakan antaranya kempen Sedekah Jumaat, Bantuan Untuk Syria dan Misi Sukarelawan. Kempen ini akan berterusan setiap tahun dan setiap bantuan sumbangan akan diagihkan kepada pelarian Palestin dan Syria yang kini hidup dalam kesempitan serta tekanan di Tebing Barat, Gaza, Lubnan, Jordan dan Syria.

Kemiskinan, kelaparan dan penderitaan masih menyelubungi kehidupan umat Islam di seluruh Palestin dan Syria. Sumber makanan tidak mencukupi serta bekalan air bersih amatlah sedikit. Mereka mengharapkan keprihatinan kita untuk membela nasib mereka. Tambahan pula, sumber asas seperti bekalan makanan, bantuan kesihatan, tempat tinggal, ubat ubatan dan pakaian adalah antara keperluan yang paling penting bagi meneruskan kelangsungan hidup. Paling membimbangkan, keadaan kadar pengangguran terlalu tinggi melebihi 50 peratus menyebabkan tiada kehidupan yang produktif bagi mereka menjana pendapatan.

Sehubungan itu, Pihak Aman Palestin Berhad membawa jemputan khas Pegawai Media Aman Palestin dari Gaza, iaitu Hamza Deirawi untuk berkongsi pengalaman kesengsaraan hidup rakyat Palestin yang saban hari ditindas kejam oleh rejim Zionis. Melalui perkongsian program Jelajah Kembara Ilmu Bersama Hamza Deirawi, ia sedikit sebanyak telah membuka ruang pelbagai pihak untuk mendapatkan perkongsian terkini mengenai Palestin.

Kehadiran Hamza ke Malaysia bukan sekadar perkongsian biasa, tetapi merupakan salah satu usaha menyuntik semangat perjuangan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Marilah kita bersama-sama membantu saudara seIslam di bumi Palestin dan bersatu berjuang mempertahankan Islam.

Laporan oleh: Wahida

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin