Serangan Penjara Hasakah: 210 Maut dan Ratusan Kanak-Kanak Terperangkap

Rusydan Yusup | 25 Januari 2022, 9.43 PM

SYRIA - Ratusan kanak-kanak terperangkap dalam penjara di bahagian Timur Laut Syria, yang telah menjadi medan pertempuran antara kumpulan ISIS dengan tentera pimpinan Kurdish.

Pertempuran di penjara yang ditadbir oleh Pasukan Demokratik Syria (SDF) di bandar Hasakah tersebut bermula pada Khamis lalu, apabila pejuang ISIS merempuh penjara dengan dua kenderaan dipenuhi bahan letupan sebagai sebahagian daripada cubaan memecah masuk.

Serangan berterusan ke atas penjara Ghwayran, yang dikatakan menempatkan beribu-ribu orang yang disyaki anggota kumpulan itu dilaporkan telah menyebabkan lebih 210 orang terbunuh setakat ini.

Pertubuhan Save the Children pada hari Isnin berkata, mereka mempunyai bukti mengenai beberapa kematian dan korban kanak-kanak di penjara tersebut ekoran serangan.

Pertubuhan itu berkata, mereka telah menerima keterangan audio mengenai hal itu, termasuk rakaman seorang budak lelaki menangis. Kanak-kanak bawah umur yang ditahan di penjara itu, yang sebahagiannya berada di sana selama tiga tahun, datang dari berpuluh-puluh negara asing.

Minggu lalu, SDF mendakwa ISIS menggunakan kanak-kanak sebagai perisai manusia.

Jurucakap Majlis Demokratik Syria (SDC), sayap awam SDF, memberitahu bahawa pertempuran sedang berlangsung dan meminta bantuan daripada organisasi bantuan antarabangsa.

"Kanak-kanak anggota ISIS berada di Al-Hasakah, tetapi kini mereka selamat," kata jurucakap SDC Amjad Othman.

"Keadaan ini sangat berbahaya, walaupun perkembangan terkini memihak kepada SDF, tetapi pertempuran masih berterusan di dalam dan di luar penjara," katanya. Beliau menambah bahawa dikhuatir krisis kemanusiaan akan meningkat.

Bagaimanapun, jurucakap SDF, Aram Hanna memberitahu bahawa walaupun tentera masih mampu mengawal keadaan, pejuang ISIS masih menggunakan kanak-kanak sebagai perisai.

SDF dan kumpulan hak asasi manusia telah lama menyeru agar negara-negara  asing membawa pulang kanak-kanak anggota ISIS dari negara mereka yang kini terperangkap di Syria.

Walau bagaimanapun, setakat ini, kebanyakan negara asal enggan mengambil semula warganegara mereka, bimbang tindak balas domestik dan potensi kewujudan ejen rahsia ISIS di negara mereka.

Serangan ke atas penjara itu adalah operasi terbesar yang dijalankan oleh organisasi pengganas tersebut di Syria sejak kekalahannya  pada 2017 dan telah menimbulkan kebimbangan berlakunya kebangkitan kumpulan itu.

Krisis yang berterusan di Syria terus menekan rakyat mereka yang hidup dalam ketakutan dan serba kekurangan. Bantuan dari pelbagai negara perlu diteruskan bagi meringankan beban mereka. - MEE

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin