Zionis Roboh Rumah, 4,500 Penduduk Hilang Tempat Tinggal

Abiidah Fadzlan Shahidi | 11 Januari 2022, 7.47 AM

GURUN NEGEV - Tentera Rejim Israel telah memusnahkan kawasan besar tanah Palestin di perkampungan Al-Atrash, Negev, yang terletak di Selatan negara haram Israel sebelum menyerang dan menahan penduduk dan wartawan isnin lalu.

Seramai lebih 4,500 penduduk Palestin hilang tempat tinggal akibat operasi itu. Mereka juga merobohkan khemah yang digunakan oleh keluarga Atrash di kampung al-Ruwais sebagai tempat berteduh.

Tentera Rejim Zionis turut menyerang dan menahan seorang wartawan Palestin dengan kejam semasa beliau sedang membuat liputan mengenai kerja-kerja merobohkan rumah  yang dilakukan oleh rejim Zionis di perkampungan Al-Atrash.

Salah seorang penduduk Palestin yang cuba menghalang tentera rejim Zionis daripada meratakan tanah mereka juga telah ditahan.

Terdapat hampir 100,000 penduduk Palestin tinggal di 35 kampung Badwi di Negev yang tidak diiktiraf oleh kerajaan haram Israel. Mereka menganggap penempatan Badwi di kampung-kampung ini sebagai setinggan haram dan tidak menyediakan perkhidmatan atau infrastruktur asas kepada mereka, termasuk elektrik, air, sistem kumbahan, jalan raya, sekolah atau hospital.

Oleh kerana tidak diiktiraf oleh negara haram Israel maka mereka sentiasa berada di bawah ancaman perobohan dan perampasan tanah. - Quds News

 

© Hakcipta Terpelihara 2024, Aman Palestin